Terkadang kita termangu sendirian sambil hati bercakap-cakap dan
tertanya-tanya mencari jawapan yang tidak pasti. “Isyy.., kenapalah rasa sunyi
sangat hati aku ni?”, “Hmmph, kenapalah rasa macam diri ini jauh sangat dari
Allah. Ini tak kena, itu tak kena. Semuanya rasa serba tak kena. Apakah Allah
sudah berlepas tangan dariku? Astaghfirullahal ‘Azim.
Rasa-rasa sebegitu acapkali menjengah dan menghantui diri kita, tidak kira
siapa, dan ia tidak lain berpunca dari diri kita sendiri. Cuba kita cari dan
suluh puncanya.
Dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini, itulah punca dan sebab
musababnya. Maka, sama ada sedar atau tidak, dosa dan maksiat telah menjadikan
hubungan kita dengan Allah semakin merenggang dan langsung menjauhkan kita dari
limpahan rahmat-Nya.
Sungguh jiwa kita tidak boleh menerima petaka ini dan hati nurani kita
berasa cukup tidak selesa dengan situasi ini. Walhal terpisah dari ibu kandung
sendiri pun sudah terasa haru dan tidak keruan. Inikan pula terpisah dan jauh
dari rahmat Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Seandainya dikumpulkan semua kelazatan dan kenikmatan duniawi ini dengan
satu tujuan untuk menggembirakan hati kita dan mengeluarkannya dari beban
penderitaan kerana terpisah dari rahmat Allah itu, nescaya ia tidak berupaya
menghilangkan segala kedukaan dan penderitaan tersebut, sebaliknya ia hanya
akan menambah bebanan dan tekanan pada jiwa yang sudah sedia terseksa.
Ahh.., penderitaan dan kepahitan kerana berjauhan dan terpisah dari Allah
ini hanya dapat dirasai dan ditangisi oleh insan yang hidup hati nuraninya.
Namun tidak bagi mereka yang telah mati hatinya. Orang yang mati hatinya tidak
lebih bagai bangkai yang berjalan. Ia tidak sensitif dengan apa-apa lagi. Benar
sekali ungkapan si bijaksana yang menyebutkan: “Kelukaan tidak memberikan
sebarang kesakitan lagi kepada hati yang telah mati.”
Bagaimana diri kita semua kala ini? Pernahkah kita merasai yang diri ini
amat jauh dari Allah s.w.t. iaitu tatkala tercebur ke dalam kancah dosa dan
maksiat? Memang pernahlah jawabnya. Kerana dosa, kita yang telah Islam ini pun
boleh terlempar jauh dan terpinggir dari rahmat Allah s.w.t., bayangkan betapa
jauh dan sayupnya rahmat dan pandangan Allah pada seseorang yang kafir dan
syirik pada-Nya?
Hakikatnya kita sangat memerlukan Allah di dalam hidup kita. Kita tidak
rela terpisah dari pandangan dan rahmat Allah walaupun sesaat cuma. Kalau Allah
mula berlepas tangan dari kita, bermakna bermulalah detik kemusnahan kita.
Ingat! Bahawa syaitan dan nafsu sentiasa berusaha mewujudkan jaluran dosa yang
menjadi kabut hijab antara hamba dan Allah yang Esa.
Terpinggir dari
manusia
Sudahlah menderita terpisah berjauhan dari Allah, dosa juga melakar kepiluan yang amat kerana terpinggir dari manusia. Manusia yang bagaimana? Manusia yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Sekali lagi, dia bukan dipinggir mahupun dipisahkan oleh mereka. Sebaliknya dia sendiri menjadi terpisah dan terpinggir dari kelompok ‘orang-orang Allah’ itu kerana bahana dosa yang digulitinya.
Kerana keterpinggiran itu, dia akan semakin jauh dari majlis-majlis mereka.
Kerana kejauhan itu, dia tidak dapat mengambil faedah-faedah kebenaran dari
mereka lagi. Yang berlaku, dia semakin mendekatkan diri dengan kumpulan syaitan
menurut kadar kejauhan yang dirasai dan dialami olehnya. Kini, hari demi hari
terasa semakin menekan dan menyesak di dalam hati.
Tidak semena-mena, akibat dosa itu, perasaan benci dan amarah menyelinap
masuk ke dalam hatinya. Lalu ia membuak-buak bagai dirasuk hantu syaitan, anak
dan isterinya dibenci. Malah, kerana bahana dosa itu, ia sampai ke tahap benci
terhadap dirinya yang sebenar. Seorang ulama menyingkapkan: “Jika aku
melakukan maksiat kepada Allah, akan terlihatlah kesannya pada kenderaan dan
isteriku.”
Kisah tiga sahabat yang dihukum Allah kerana tidak menghadirkan diri dalam
peperangan Tabuk tanpa keuzuran syarie, wajar menjadi teladan buat kita semua.
Dalam tempoh tiga bulan, mereka merasai kehidupan yang cukup pahit dan menyeksakan.
Sudahlah dimurkai Allah s.w.t., mereka juga turut dipinggirkan oleh Rasulullah
s.a.w. dan seluruh umat Islam.
Selama tempoh itu, mereka menangis siang dan malam, tidak henti-henti
memohon keampunan Allah, sehingga datanglah keampunan Allah. Kenapa mereka
menangis dan merintih kepada Allah? Kerana mereka tidak mahu terpisah dari
rahmat-Nya. Sekali lagi, itulah kesan dosa dan ia hanya dirasai dan dideritai
oleh mereka yang punyai mata hati.
Oleh: Amal Islami
No comments:
Post a Comment